Hari ini adalah hari jumaat. Penghulu kepada 6 hari yang lain. Juga adalah hari cuti buat warga Jordan dan Permai khususnya. Namun cuti itu tidak bermakna kita tidak perlu melakukan sesuatu pun. Tidak bermakna kita hanya memerap diri didalam bilik atau duduk bersantai atau tidur sepanjang hari. Hamba Allah ini banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Walaupun di hari cuti, masih ada tugas yang mesti dilaksanakan.
Hari ini juga saya turun mengundi di PUSKOM. Antara tempat yang dijadikan pusat mengundi. Mengundi untuk melantik Presiden dan Ketua Helwi yang baru serta AMT-AMT yang lain. Mereka yang akan memegang tampuk pemerintahan Permai pada sesi 2012/2013. Walaupun pada sesi tersebut mungkin saya sudah tidak lagi berada di bumi Jordan ini, tapi saya menjalankan tanggungjawab saya sebagai warga PERMAI untuk keluar mengundi.
Undi adalah rahsia. Itulah perkataan yang keluar daripada mulut JPR (Jabatan Pilihanraya). Saya memerhati muka-muka yang telah dicalonkan oleh warga PERMAI mahupun yang mencalonkan diri sendiri. Mereka semua kelihatan hebat-hebat belaka. Sukar untuk memangkah yang benar-benar layak kerana semuanya layak. Saya mengambil keputusan untuk mengambil muka-muka baru dari kalangan warga PERMAI dan meminggirkan muka-muka lama. Saya yakin generasi muda mampu melakukan perubahan yang lebih baik daripada mereka yang lama. Warga baru ini patut diberi peluang untuk mentadbir PERMAI.
Sewaktu saya turun mengundi, mungkin masih ramai lagi warga PERMAI pada masa itu sedang nyenyak tidur. Menemani seorang rakan yang kelihatan bersemangat untuk turun mengundi sehingga sanggup belanja makan 2 keping roti canai dan secawan nescafe. Terima kasih sahabat. Sempat juga berbual dengan dia mengenai BERSIH yang akan dilaksanakan esok hari di Ibu Negara Malaysia. Namun terkesan dengan BERSIH di Malaysia, sebahagian warga PERMAI juga akan turut menyokong BERSIH dengan diadakan perarakan atau bantahan aman disini pada esok hari. Mereka juga telah menempah pakaian rasmi BERSIH yang berwarna kuning bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap BERSIH.
"Esok kau join BERSIH ke tak?"
"Entah la, aku kureng sikit la benda-benda ni, tapi tak bermakna aku tak cakna dengan pentadbiran Malaysia".
Sesetengah orang nampak cakna dengan isu Malaysia, tapi tidak dapat menyumbang apa-apa pun. Setengah lagi nampak sahaja tidak cakna, tapi mereka banyak menyumbang. Begitulah manusia. Banyak cara yang dapat dilakukan untuk menyumbang. Luaskan pemikiran dan selamat menyumbang untuk Malaysia tercinta.
No comments:
Post a Comment