Monday, April 23, 2012

PTPTN


PTPTN sekarang menjadi isu yang sedang hangat diperkatakan. Lebih-lebih lagi menjelangnya PRU-13 yang masih tidak ditetapkan tarikhnya lagi walaupun akan diadakan dalam masa yang terdekat ini. Beberapa siri demontrasi yang telah diadakan oleh mahasiswa sebagai langkah usaha menghapuskan PTPTN dan menggantikan dengan pendidikan percuma. Dalam masa yang sama beberapa perkara yang tidak diingini juga telah berlaku.

Saya mengerti kepada mereka yang mendapat pinjaman daripada PTPTN yang dikenakan caj perkhidmatan yang sangat keterlaluan. Namun disebabkan mereka tidak mendapat bantuan pendidikan selain PTPTN, mereka terpaksa mengambil pinjaman tersebut untuk meneruskan pendidikan mereka. Mungkin pada saya mereka yang menggunakan wang tersebut secara betul dan amanah, hanya digunakan untuk membiaya pembelajaran mereka tanpa salah guna atau menggunakannya untuk kemewahan lain, silakan untuk meminta kerajaan memberikan mereka pendidikan percuma. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya, ramai diantara mereka menggunakan wang tersebut untuk bermewahan dan akhirnya tidak mahu membayar semula pinjaman tersebut.

Saya menyokong jika usaha mereka untuk menghapuskan caj perkhidmatan namun usaha untuk menghapuskan terus PTPTN haruslah dikaji secara ilmiah oleh pakar-pakar ekonomi. Ia tidak boleh dilakukan secara semberono dan drastik. Perlu ada pihak yang tampil mengemukakan hujah dan kesan yang akan berlaku kepada ekonomi Malaysia. Saya juga berharap kepada kerajaan supaya memberi pembiayaan secara qard al-hassan kepada mahasiswa iaitu pinjaman tanpa sebarang caj. Manakala kita turut mengetahui jika kita berjaya dengan cemerlang pihak PTPTN akan menutup akaun hutang tersebut. 

Saya berpendapat supaya kerajaan menyediakan yuran percuma kepada mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran mereka, dan memberi mereka duit poket sekiranya mereka menunjukkan prestasi yang terbaik sahaja. Ini adalah supaya mereka tidak menyalahgunakan duit yang telah diberikan tersebut. Kerajaan juga haruslah kerap membuat pemeriksaan di setiap universiti untuk melihat sejauh mana mereka ini perlu diberikan yuran percuma dan duit poket. Kerana dikhuatiri mereka ini tidak hadir ke kuliah, atau berbelanja secara boros.

Kerajaan juga harus menilai semula pemberian kewangan kepada mahasiswa yang memperoleh tajaan penuh kerana dilihat seakan mereka ini mendapat terlalu banyak lebihan terutama mereka yang belajar di luar negara. Jika pemberian kepada mereka dapat dikurangkan, maka akan lebih ramai yang mampu menerima tajaan penuh tersebut. Ini mungkin memerlukan penilaian yang sangat teliti.

Saya juga berharap isu PTPTN ini tidak hanya diuarkan ketika diambang pilihanraya sahaja, tetapi mestilah  berterusan sehingga mendapat hak yang sebenar. Tetapi perlu diingat supaya bersikap matang dalam melakukan sesuatu perkara. Sentiasa beradab dan tidak menjatuhkan peribadi seseorang.

Saya dengan ini sangat menyokong supaya tidak dikenakan sebarang caj kepada peminjam PTPTN. Dengan terlaksananya hasrat mahasiswa ini, mereka tidak lagi dihantui dengan dosa besar RIBA yang sentiasa diragui oleh kami semua.

~saya bukan peminjam PTPTN~

No comments:

Post a Comment

KITA HARAPAN SEMUA

KITA HARAPAN SEMUA
"BERFIKIR POSITIF MENTERJEMAHKAN TINDAKAN YANG POSITIF DAN MENBUAHKAN HASIL YANG POSITIF" mohamad sahdan