Thursday, May 10, 2012

INSAN BERGELAR IBU


Hari ini 10.5.2012 adalah hari lahir ibuku yang paling aku sayang. Genap sudah umur ibuku 49 tahun. Aku memanggil ibuku dengan gelaran 'mama'. Sememangnya aku sangat manja dengan ibuku. Maklumlah aku adalah bongsu lelaki. Jarak umurku dengan adikku juga agak jauh. Lebih kurang 3 tahun. Ingatkan aku yang bongsu tapi aku tetap bersyukur dapat adik. Seronok ada adik-beradik yang ramai.

10.5.1963 lahir seorang wanita yang bernama Noryati binti Jamaluddin. Ibunya bernama Besah binti Seman. Iaitu nenekku. Datukku telah meninggal ketika aku di tingkatan 5. Manakala nenekku masih lagi sihat dan menetap di pondok agama untuk mempelajari agama sejak kematian datukku.

Kadang-kadang aku terfikir masih banyak lagi perkara yang aku tidak tahu mengenai ibuku. Aku takut aku tidak sempat untuk mengetahui semua tentang ibu. Kalau boleh aku mahu mengetahui semua sudut kehidupan mengenai ibuku. Aku tahu ibuku adalah insan paling berjasa dalam hidupku. Daripada aku kecil sehingga ke tahap ini, ibulah yang paling banyak membantu, menyokong, memberi harapan, tempat berkongsi cerita. Sejak dulu aku lihat ibu bersusah payah melakukan kerja-kerja kampung, sehinggalah sekarang ibu masih melakukan kerja tersebut. Daripada menoreh getah, bercucuk tanam dan sebagainya telah ibu lakukan. Daripada seringan-ringan kerja sehingga seberat-beratnya telah ibu lakukan. Sehingga sekarang ibu masih melakukan kerja berat sebagai cleaner di sekolah rendahku. Ibu maafkan aku sebab masih tidak mampu untuk membantumu.

Daripada dahulu lagi ibu melarang aku daripada melakukan kerja-kerja berat. Kata ibu, ibu tidak mahu aku jadi seperti dirinya. Ibu mahu aku hidup senang. Kadang-kadang aku tetap mahu melakukan kerja berat tersebut tanpa hiraukan kata ibu. Maafkan aku ibu. Pernah juga aku mengambil upah menanam anak getah sehingga demam-demam kerana sangat keletihan. Baru aku tahu kerja yang kelihatan ringan itupun sebenarnya sangat berat lebih-lebih lagi dilakukan oleh perempuan seperti ibuku. Maafkan aku ibu kerana tidak dapat membantumu lagi.

Adik-beradik yang ramai tidak membantutkan hasrat ibu untuk memberikan pendidikan kepada semua adik-beradikku. Mereka semua dapat bersekolah dengan sempurna. Terima kasih ibu. Aku tidak dapat memikirkan bagaimana kamu dapat melakukan semua ini dengan kehidupan yang telah kita lalui. Terima kasih ibu. Dahulu ketika kita tidak mampu untuk makan, ibu tidak pernah malu untuk membeli secara hutang. Walaupun anakmu ini selalu malu untuk melakukan itu. Sekarang aku tahu itu semua demi anakmu dan kamu tidak rela anakmu berlapar. Terima kasih ibu atas pengorbananmu. Sungguh besar pengorbananmu itu. Tidak mungkin aku dapat membalasinya.

Ibu, maafkan kami semua jika kami selalu melakukan kesalahan dan pasti kami melakukannya. Kadang-kadang kami tidak mendengar kata-katamu. Kami tidak belajar bersungguh-sungguh. Kami tidak mendengar pesananmu dan nasihatmu. Maafkan kami ibu.

Ibu, terima kasih kerana telah melahirkan aku didunia ini. Aku gembira kerana dikurniakan ibu yang sangat tabah, sabar, kuat, cantik, penyanyang dan seorang pendidik. Aku tahu betapa susahnya untuk ibu melahirkanku. Walaupun ibu pernah berkata sangat mudah melahirkan aku tapi proses untuk sembuh pasti menyakitkan ibu.

Ya Allah ampunkan dosa diriku dan ampunkan dosa ibu dan bapaku. Sayangi ibubapaku sebagaimana mereka menyanyangi. Ya Allah Kau peliharalah mereka daripada segala malapetaka. Kau berilah petunjuk kepada mereka ketikamana mereka lari daripada jalanMu. Peliharalah keluargaku Ya Allah dari azabMu. Kau permudahkanlah urusan ibuku ya Allah.

Selamat hari lahir ibu. Semoga ibu berbahagia selalu walaupun aku berada berjauhan dari ibu. Aku berharap dapat sentiasa bersama ibu ketika senang ataupun susah. Aku pasti membantumu ibu.

Walaupun ibu tidak membaca tulisanku ini, tapi aku harap jika aku sudah tiada lagi nanti, aku mahu ibu tahu yang aku sangat menyanyangi ibu. Salam kemaafan dari anakmu ini.

No comments:

Post a Comment

KITA HARAPAN SEMUA

KITA HARAPAN SEMUA
"BERFIKIR POSITIF MENTERJEMAHKAN TINDAKAN YANG POSITIF DAN MENBUAHKAN HASIL YANG POSITIF" mohamad sahdan