Sunday, May 6, 2012

SEM TERAKHIR AKU DI JORDAN


Alhamdulillah aku semakin hampir untuk menamatkan ijazah sarjana muda. Memang tidak menyangka waktu berjalan sederas ini. Rasa masih banyak lagi perkara yang tidak diketahui. Kadang-kadang rasa malu, ada ijazah sarjana muda tapi ilmu peringkat menengah sahaja. Macam itulah kehidupan, tidak akan pernah habis ilmu yang dicari. Semakin berilmu, semakin banyak perkara yang kita perlu tahu. Masa juga mematangkan fikiran kita. Masa yang digunakan untuk menuntut ilmu, bukan masa yang disia-siakan untuk melepak, berhibur sepanjang masa dan melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Di sem terakhir ini juga aku akan menghadapi peperiksaan terakhir, insyaAllah. Doakan segalanya dipermudahkan. Walaupun begitu, perasaan takut itu pasti ada. Walaupun sudah berbelas tahun hidup ini bergelumang dengan peperiksaan tapi masih tidak lali-lali juga. Masih tidak tahu kenapa ia berlaku. Adakah aku hanya mengejar markah semata-mata? Tapi markah aku tidaklah tinggi mana pun. pointer pun sama. Apa yang aku hendak sebenarnya daripada peperiksaan ini? Takkan lah untuk dapat sijil semata-mata sahaja. InsyaAllah niat ini sentiasa boleh diperbaharui supaya kita belajar ini mendapat keberkatan daripada Allah taala. Kejarlah dunia dan akhirat supaya hidup ini memenuhi segala kehendak, kehendak agama ataupun akhrowi dan kehendak duniawi. Bertenanglah dengan peperiksaan yang bakal tiba. Berusaha dan bertawakkal pasti akan membuahkan hasil. InsyaAllah.

Sebenarnya peperiksaan ini mekanisme pengukur keilmuan seseorang. Namun begitu ia tidaklah boleh dijadikan pengukur tepat. Ini kerana sesetengah orang tidak bijak dalam peperiksaan tetapi bijak di sudut lain dan begitulah sebaliknya. Masing-masing mempunyai potensi tersendiri. Disebabkan peperiksaan ini tidak mengira siapa yang suka peperiksaan ataupun tidak, maka semua sekali perlu berusaha tanpa kecuali. Cubalah sedaya mungkin, usaha yang membezakan seseorang.

Mulai dari sekarang kita sudah perlu mempunyai semangat peperiksaan kerana peperiksaan akan bermula pada minggu hadapan. Jangan terlalu suka untuk mengulangkaji di saat-saat akhir. Sesetengah orang akan cakap ia sangat membantu dan membuatkan kita ingat, tapi kalau orang tersebut mula lebih awal, ia akan memberi hasil yang lebih sempurna. Juga tidak semua orang mampu menghabiskan sesi ulangkaji dalam satu malam sahaja. Jadi, pemahaman mestilah bermula daripada sekarang dan saat-saat akhir nanti hanya perlu membaca sekali lalu sahaja.

Berdoalah kepada Allah supaya dikurniakan kemudahan dalam menjawab dan dapat mengingati apa yang telah dipelajari. Disamping menelefon ibubapa dan diminta mereka mendoakan kejayaan kita. Juga pohonlah kemaafan daripada sahabat-sahabat yang kita pernah sakiti mereka dan jangan ulangi lagi perbuatan tersebut.


Aku berharap peperiksaan kali ini memberi kepuasan pada diriku kerana ini adalah peperiksaan terakhir ijazah sarjana mudaku. Dan aku juga berharap sahabat-sahabat aku semua dapat melakukan yang terbaik untuk diri mereka. Kegembiraan itu untuk semua, puaskan hati semua pihak dengan kejayaan anda. Selamat berjuang dalam peperiksaan.

2 comments:

  1. semoga dipermudahkan! ^0^

    *first time singgah

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih sebab sanggup singgah...hehe

      Delete

KITA HARAPAN SEMUA

KITA HARAPAN SEMUA
"BERFIKIR POSITIF MENTERJEMAHKAN TINDAKAN YANG POSITIF DAN MENBUAHKAN HASIL YANG POSITIF" mohamad sahdan