Setahun sudah berlalu. Keadaan bandar Mekah sudah banyak berubah. Juga keadaan Masjidil haram yang semakin besar. Banyak bangunan yang dibina berhampiran dengan Masjidil Haram. Antaranya hotel-hotel gergasi, kedai-kedai makanan dan pakaian serta barangan-barangan perhiasan. Terdapat juga bangunan yang tidak siap-siap lagi semenjak tahun lepas, kedai-kedai makan yang telah pupus dan bangunan yang tidak digunakan lagi. Mungkin mereka bungkus disebabkan tidak mampu lagi untuk menampung kos sewa yang sangat mahal kerana berhampiran Masjidil Haram.
Sungguh hebat jika dilihat hotel-hotel yang berhampiran dengan Masjidil Haram, kebanyakannya bertaraf 5 bintang. Mungkin kos pembinaan mencecah bilion Riyal juga keuntungan yang bernilai ratusan bilion Riyal. Tetapi siapakah pemilik hotel tersebut? Adakah umat Islam kita? Jika mereka adalah orang Islam, beruntunglah ekonomi negara Islam.
Produk-produk yang dijual di kebanyakan kedai atau pasaraya kebiasaannya adalah barangan buatan China. Alangkah untungnya China setelah produk mereka terjual di tempat paling ramai umat Islam berkumpul. Turut terjual di serata dunia kerana produk China dapat dihasilkan dengan kos terendah. Kopiah, tasbih, sejadah, jubah dan kebanyakan barangan yang digunapakai umat Islam adalah buatan China. Agaknya berapa keuntungan China dengan semua jualan produknya. Mungkin berbilion dalam sehari. Tidak peliklah jika China adalah kuasa ekonomi nombor 2 dan tidak lama lagi akan mengambil alih kuasa ekonomi nombor satu dunia iaitu Amerika.
Saya berharap 10 tahun akan datang produk-produk di Mekah dan Madinah dipenuhi dengan barangan buatan umat Islam dan juga harganya setanding dengan buatan China. Manakala projek-projek hartanah yang mengelilingi tempat mulia tersebut turut dikuasai oleh umat Islam. Bermula daripada sekarang peneraju-peneraju ekonomi Islam hendaklah berusaha menyaingi ekonomi Kapitalis. Saya yakin jika usaha yang dilakukan dengan keras dan menjaga nilai-nilai Islam, pasti ekonomi Islam akan berjaya ditegakkan dan berjaya pergi jauh daripada ekonomi Kapitalis. Selepas ini, kita, anak-anak kita, cucu kita dan generasi seterusnya akan dapat membeli dan melihat barangan buatan umat Islam di Mekah dan Madinah serta negara-negara Islam yang lain seperti Saudi, Jordan, Malaysia, Indonesia, Brunei, Mesir dan semua negara yang memiliki majoriti penduduk Islam.
No comments:
Post a Comment