Konsep talfiq telah diamalkan oleh umat Islam tanpa sedar.
Indonesia dan Malaysia secara khususnya bermazhab Syafie’ dalam praktik ibadah
namun realitinya seringkali teramalkan kaedah talfiq. Maka tajuk ini ingin
membahaskan sejauhmanakah kaedah talfiq dapat menyelesaikan isu dalam ibadah
semasa umat Islam terutamanya di Malaysia.
Talfiq jika dilihat dari segi bahasa bermaksud mencantumkan,
mengumpulkan dan menyatukan. Manakala dari segi istilah pula bermaksud
penggabungan antara dua unsur atau lebih. Imam al-Bani al-Husayni telah
membahagikan talfiq dari segi usul-fiqh kepada tiga bahagian:
- Melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh para mujtahid iaitu perlakuan menggabungkan pendapat dari pelbagai mazhab dalam satu perkara.
- Menggabungkan dua mazhab atau lebih dalam satu masalah. Contohnya orang berwuduk dalam masalah membasuh kepala hanya membasuh sedikit sahaja dalam mazhab syafie’ kemudian menyapu kaki tanpa membasuhnya mengikut sesetengah ulama. Penggabungan ini dinamakan talfiq.
- Tidak terikat seorang muslim dengan sesuatu mazhab bahkan mengamalkan pendapat pelbagai mazhab dalam pelbagai perkara.
Jadi talfiq adalah perbuatan mencampurkan pelbagai pendapat mazhab
dalam sesuatu masalah dan juga mengamalkannya serta tidak terikat dengan
mana-mana mazhab.
Wahbah Zuhaili pula mentakrifkan talfiq sebagai menghimpunkan
antara taqlid dua imam atau lebih dalam sesuatu perbuatan diamana setiap
perbuatan itu mempunyai rukun atau juziyat yang mempunyai hubungan antara satu
sama lain. Apabila seseorang bertaqlid kepada mazhab tertentu dalam sesuatu
hukum dan bertaqlid kepada mazhab yang lain dalam masalah hukum lain, maka
perbuatan ini dianggap talfiq diantara dua mazhab atau lebih.
Pandangan Ulama Semasa Terhadap Talfiq
Yusuf al-Qaradhawi mengatakan sesungguhnya talfiq yang dilakukan
dengan tujuan untuk bertalfiq kepada mana-mana pendapat yang mudah dari setiap
mazhab mengikut hawa nafsu semata-mata tanpa meraikan dalil-dalil syara’ adalah
tidak harus.
Melihat kepada pandangan-pandangan yang telah diberikan oleh ulama,
maka harus untuk bertalfiq dalam perkara yang mempunyai nas-nas yang dilihat
lebih menepati syara’ dan juga menepati kepada maqasid syariah. Pada masa
sekarang juga amat sulit untuk berpegang kepada satu mazhab sahaja dan sudah
tidak relevan lagi doktrin perlarangan talfiq kerana keperluan manusia telah
bertambah. Contohnya dalam hukum
pembayaran zakat fitrah di Malaysia dan pelbagai lagi masalah telah tidak hanya
bergantung kepada mazhab syafie’ sahaja malah menggunapakai pelbagai mazhab
dalam menyelesaikan masalah manusia.
No comments:
Post a Comment